Cara-cara hasilkan pantun yang baik

Menghasilkan pantun yang bermutu dan mempunyai seni bukanlah sesuatu yang sukar dan bukanlah juga mudah. Semua orang boleh membuat pantun tapi persoalannya sejauh manakah pantun yang dihasilkan itu mampu menarik minat pembaca. Melalui halaman ini, saya akan cuba mengajar anda bagaimana hendak menghasilkan pantun yang memikat hati disamping memelihara keseniannya.Pantun dari segi bentuknya yang sederhana dan mudah dikenal susunannya, terdapat beberapa jenis yang penting. Jenis-jenisnya ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun sepuluh kerat. Pantun yang lebih daripada empat kerat disebut juga talibun. Selain lima jenis bentuk ini, terdapat sejenis bentuk lagi yang dinamakan pantun berkait.

Walaupun begitu, setiap jenis bentuk tersebut mempunyai tiga ciri utama yang sama. Pertama, dalam sebait atau serangkap terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian pembayang dan bahagian maksud. Kedua, jumlah perkataan setiap baris adalah seimbang iaitu lazimnya 4 perkataan atau selebih-lebihnya 5 perkataan; dengan demikian jumlah suku kata baris-barisnya antara 8 hingga 12 suku kata dan berlaku pula jeda atau hentian di tengah baris ketika membacanya. Ketiga, kedudukan rima akhirnya kecuali pantun dua kerat adalah berselangan atau bertentangan. Contoh bagi ketiga-tiga ciri ini, dikemukakan melalui pantun empat kerat berikut :

Tumbuh lengkuas di tepi bendang,
Berdaun lebat pohon dedalu
Disangka puas mata memandang,
Rupanya dapat selenggang lalu.

Daripada contoh ini, baris 1 dan baris 2 sebagai bahagian pertamanya ialah pembayang, baris 3 dan baris 4 sebagai bahagian keduanya ialah maksud. Jumlah perkataan setiap baris ternyata seimbang atau sama banyak dan jumlah suku kata baris-barisnya juga adalah sama, iaitu 10 suku kata. Kedudukan rima akhirnya atau bunyi suku kata akhir perkataan di hujung baris-barisnya berselangan; kedudukan ini disebut atau ditandakan dalam susunan: a b a b. Apabila pantun itu dibaca, hentian akan berlaku pada perkataan kedua setiap barisnya. Pantun yang lebih daripada empat kerat atau talibun, pastilah bahagian pembayang dan bahagian maksudnya melebihi dua baris dengan kedudukan rimanya dalam susunan : a b c a b c,a b c d a b c d dan a b c d e a b c d e . Pantun dua kerat tidak demikian kedudukannya; walaupun mempunyai bahagian pembayang pada baris 1 dan bahagian maksud pada baris 2 tetapi rima akhirnya adalah sama dengan susunan: a a . Bagi pantun berkait pula mengambil pantun empat kerat sebagai bentuk dasarnya. Namun ada perbezaan dari segi penyusunan bentuknya. Antara perbezaannya, pantun tersebut tidak lengkap dalam satu bait sahaja. Ini memungkinkan isinya menjadi satu cerita. Sebahagian daripada baris-barisnya berkait atau bersambung, iaitu baris 2 dan baris 4 dalam bait yang pertama digunakan menjadi baris 1 dan baris 3 dalam baik kedua. Begitulah penyusunan baris-baris untuk bait ketiga dan seterusnya. Sehubungan dengan ciri-ciri bentuk ini, kedudukan penyusunan pembayang pantun terdapat suatu hal yang menarik. Penyusunannya membawakan unsur-unsur atau suasana alam. Penyusunan seperti ini, menunjukkan serta menggambarkan kekuatan tanggapan dan ketajaman pemerhatian masyarakat khususnya pencipta pantun terhadap alam sekitarnya, sehingga berhasil menimbulkan kesan kehalusan atau keindahan pengucapan. Selanjutnya, penyusunan itu menunjukkan juga kemahiran penciptanya melahirkan rima dengan baris-baris maksud pantun tersebut. Oleh hal yang demikian, rima turut menimbulkan keindahan bentuk pantun. Keindahan itu akan terasa lebih berkesan lagi apabila terdapat rima tengah dan rima akhir yang berselangan, seperti contoh yang diperturunkan ini:

Bakar gaharu dalam taman,
Asamkan karat si pisau raut;
Kalau berguru salah pedoman,
Sesat di darat karam di laut.

Kadangkala penyusunan sesuatu pantun itu juga hampir sama pada setiap sukukata untuk keseluruhan pembayang dan juga maksud seperti pantun di bawah. Perhatikan pada akhir setiap sukukata pantun di bawah dengan teliti :-

Kembang bersih sibunga rampai,
Seri tasik nyaman membiru;
Bukan sedih cinta tak sampai;
Hati terusik zaman merindu.

Diharapkan dengan penjelasan di atas akan dapat membantu anda dalam menghasilkan pantun yang baik dan seterusnya memelihara kesenian sesuatu pantun tersebut.

Kembali ke Halaman Utama